Saturday, August 28, 2010

Dabong

Assalamualaikum para sahabat dan kenalan-kenalan hamba.... dibulan puasa ini aku mengambil sedikit masa untuk membawa kita sekejap ke zaman best kita... suatu ketika dahulu... dan kepada sesiapa yang tidak tahu aper gambar di sebelah kanan ini maka ia sah bahawa ianya tidak pernah menjejakkan kaki di Dabong.

Kg. Dabong yang suatu ketika dahulu sebuah kampung terpencil di hulu Kelantan, kini menampakkan sedikit anjakan untuk peralihan dari satu titik ke satu titik yang lebih tinggi. Banyak perubahan-perubahan dan pembangunan yang dicurahkan sama ada dari kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri tetap terhampar dan menyediakan satu pakej kerajaan yang amat berharga.
Dapat kita simpulkan dari segala perkiraaan yang panjang untuk rumusan yang singkat ialah apapun kerajaan negeri kita, sekiranya keikhlasan kerajaan negara membangunkan negaranya maka kita tidak akan ketinggalan. Terpulang kepada kita sejauh mana kesungguhan kita dalam merebut peluang-peluang, kita lambat maka kita akan keciciran.
Perumpamaan 'Secupak tidak akan jadi segantang' perlu dikikis keluar dari minda masyarakat kita, malah banyak juga perumpamaan-perumpamaan yang harus diubah agar kita bergerak pantas dan seiring dengan orang lain, bukan untuk membuang atau mengubah adat tetapi budaya perlu diperkayakan dan bahasa perlu diperindahkan tanpa merosakkan adat-adatnya.
Jika suatu ketika dahulu jika disebut perkataan atau menjawab soalan berkenaan dengan tempat tinggal, hanya beberapa kerat sahaja yang mengenali 'Dabong'. Malah ada yang segan dan menggantikannya dengan Kuala Krai agar persoalan yang panjang dapat diringkaskan. tetapi kini semua dah berubah, dengan bermodalkan satu aspek pelancongan Dabong mula dikenali dan menjadi satu destinasi percutian yang mana mula meniti dibibir penduduk sekitar malah tersebar hingga ke serata ceruk dan pelusuk negara.
Gunung Stong, Gua ikan, Gua Keris, Gua Pagar, Sungai Galas, Sungai pergau, Sungai Kelantan, Lata Stong dan Lata Kertas melengkapkan pakej percutian yang begitu menarik dan mencabar. Aku merasakan pakej ini satu-satunya yang terdapat di negeri Cik Siti Wan Kembang ini malah di seluruh Malaysia ini yang mana pakej popular tiga hari 2 malam tidak sesuai untuk digunakan disini. Ini adalah kerana kita memerlukan lebih banyak hari untuk merasa semua yang tersedia di sini.
Dalam keadaan yang dilanda bahang pembangunan dengan terbinanya jambatan oleh Gamuda Berhad, ia sedikit mengubah satu keseronokan iaitu pengalaman menaiki perahu melintasi Sungai Galas yang lebarnya lebih kurang seratus hingga seratus lima puluh meter, jikalau dulu siapa tak kenal dengan Pengkalan Tok Harun, malah boleh dikatakan setiap yang berasal dari Dabong pernah menikmati pengalaman ini.
Sekitar tahun 1985, kanak-kanak Dabong hanya berjalan kaki sama ada untuk ke air terjun ataupun untuk ke Gua Ikan yang mana jaraknya dua hingga 3 kilometer, ini adalah kerana pada masa itu keseluruhan warga Dabong hanya ada beberapa kereta dan kenderaan yang berbayar dan dari itu keputusan untuk berjalan kaki tidak menjadi masalah kerana memikirkan satu keseronokan sedang menanti di penghujung sebuah kepenatan. Sekiranya bernasib baik dapat menumpang lori Cik Stopa, kerana pada masa itu isteri Cik Stopa Majlis Daerah berniaga di Gua Ikan. Sekiranya tidak ader yang sanggup menumpangkan maka kanak-kanak kampung ini hanya berjalan dan berlari.
Apa yang paling menyeronokan ialah gelagat pengunjung dari kampung-kampung berhampiran seperti Kuala Gris, Bukit Abu, Kemubu dan beberapa kampung lagi, mereka menjadikan kenderaan ladang seperti pengangkut kelapa sawit 'tractor' sebagai pengangkutan, motosikal-motosikal yang dah hampir nak runtuh, basikal-basikal yang alangnya dah retak dan sekiranya kereta sekalipun, terpaksa berfikir dua tiga kali kerana akan sampai ke destinasi atau akan menolaknya pulang. Kalau ader kereta baru pun itu adalah kepunyaan Cikgu Ismail Wahab, proton saga berwarna putih yang baru seminggu dilancarkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada masa itu.

akan bersambung.....................

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakan-rakan facebook kerana memasukan visual-visual ini seperti Azarizal dan ramai lagi... bersama kita demi kampung tercinta... kerana dari situlah kita... 
Mae Pok

1 comment: